WHEN YOU NEED ME AND YOU DON'T WANT ME, I WILL STAY BUT WHEN YOU DON'T NEED ME AND YOU WANT ME, THEN I WILL GO

Tuesday, February 20, 2018

DUA RIBU TUJUH BELAS


Tahun paling celaka yang aku boleh katakan. Bertapa terseksanya rasa untuk menghabiskan sisa sisa 2017. Minda aku celaru. Jiwa aku tertekan.

Sedari kecil, aku bukanlah seorang yang kuat tahanan fizikal. Hampir setiap tahun, Tuhan duga aku dengan penyakit.Aku seorang yang mudah demam dan demam aku bukan seperti orang lain. Luarnya badan aku panas, tapi dalamnya aku kesejukan yang amat. Aku akan terlantar atas katil berselimutkan dua ke tiga toto, memuntahkan segala makanan, memerlukan bantuan sekurang kurangnya dua orang untuk ke tandas, membuka mata saja memerlukan tenaga yang sangat banyak waktu itu.

Alhamdulillah aku berjaya lalui 2017 tanpa sekali pun demam. Tapi kali ini Tuhan duga aku dengan cara lain. Fizikal aku sihat, tapi tidak bagi mental aku. Perkara yang dahulunya dianggap kecil, disimpan, ditahan, malangnya terluah semuanya pada hari itu.

Hari itu. Hari semuanya bahagia bersama yang tersayang. Malang buat kami, duka yang datang bertandang. Parut luka lama berdarah kembali. Perit melalui hari hari selepas itu terasa lebih perit dari saat aku demam. Di dalam duka, aku gagahkan diri mengukir senyuman, meneruskan perjuangan yang berbaki. Sekembalinya aku, dugaan  lain datang tanpa diundang. Sungguh lemahnya aku ketika itu. Meraung aku sendiri di dalam gelap meluahkan segala yang terpendam. Pernah hampir dijemput Illahi dek kerana fikiran yang melayang entah ke mana. 

Aku buntu. Aku tidak tahu apa yang aku perlu lakukan. Mungkin berdiam diri jalan yang terbaik. Maka, aku tanam pada diri “Pergi mampus semuanya”. Aku cuba untuk bertahan. Aku terlalu banyak bermonolog sendiri, menenangkan jiwa dan fikiran. Aku katakan pada diri ada yang lebih terseksa. Langsung aku setia, menemani si terseksa sehingga detik ini.

Dugaan demi dugaan membuatkan aku ingin pergi jauh. Jauh dari semuanya, hilangkan diri. Tapi aku masih ada perjuangan yang perlu aku teruskan demi yang tersayang. Perjuangan yang penuh liku aku redah. Hampir saja aku melayangkan bendera putih.Syukur, dalam dugaan yang Tuhan beri, Tuhan juga berikan aku sahabat yang tiada galang ganti. Sahabat yang menangis bersama ketika aku berduka, yang menguatkan aku ketika semangat aku hampir luntur. Sungguh, aku terhutang budi.

Sangkaan aku gagal meneruskan perjuangan meleset tatkala melihat keputusan. Alhamdulillah aku berjaya. Tidak berjaya seperti yang lain lainnya. Tapi izinkanlah aku berbangga dengan diri aku kerana telah berjaya menempuh saat saat penuh liku bersama sahabataku.

Masih ada sedikit lagi perjuangan yang harus aku teruskan sebelum menyarung jubah. Aku mohon selitkan nama aku di dalam doa kalian. Agar kami terus bertahan menghadapi dugaan dugaan yang masih belum selesai. Masih jauh perjalanan buat kami untuk mencapai kebahagiaan.

Buat pada yang merasakan ingin menyerah kalah. Bertahanlah. Sesungguhnya Tuhan telah menentukan perjalanan hidup kita. Yang pergi itu akan Tuhan gantikan dengan yang terbaik.

Kekadang aku sembuh
Dari sakit yang tumbuh
Kekadang aku parah
Dari sakit yang bercambah
Hingga aku pasrah
Hanya mampu menadah
@HilangJejakIni

Salam sayang, eva